Author : UnknownTidak ada komentar
Kitab Kifayah al-Nabih fi Syarh al-Tanbih( كفاية النبيه في شرح التنبيه) adalah sebuah rujukan fiqh dalam Mazhab Syafi’i. Ia merupakan sebuah karya Imam Abu al-‘Abbas Najmuddin Ahmad bin Muhammad bin ‘Ali bin Murtafi’ bin al-Rif-‘ah al-Anshari (645-710H), yang terkenal dengan gelaran Ibn al-Rif’ah.
Kitab ini disusun sebagai huraian (syarah) bagi kitab al-Tanbih iaitu karya al-Imam Abu Ishaq Ibrahim al-Syairazi al-al-Fairuzabadi (393-476H). Dalam karya-karya fiqh mazhab Syafi’i, jika disebutkan kitab al-Kifayah[1]secara mutlak tanpa judul lengkapnya (Kifayah al-Nabih), maka ia merujuk kepada kitab ini.
Kitab ini dianggap sebuah kitab syarah bagi al-Tanbih yang paling baik berbanding kitab syarah yang lain Di antara keistimewaannya ialah;
v Kebanyakan istidlalnya merujukkan kepada nas-nas al-Quran (الكتاب), al-Sunnah dan al-Ijmak (الإجماع).
v Permasalahan (isu-isu) yang dibincangkan sangat yang luas dan banyak pecahannya.
v Memberi tumpuan kepada pendapat-pendapat (al-aqwal) Imam al-Syafi’i dengan menerangkan perbezaan antara pendapat lama (qawl al-qadim) dan pendapat yang baru(qawl al-jadid), serta pendapat-pendapat (al-wujuh) para Ashhab al-Wujuh[2].
v Dalam kitab ini juga, Ibn al-Rif’ah memasukkan beberapa pandangan beliau yang berbeza dengan pandangan Imam al-Nawawi (676H).
v Ibn al-Rif’ah juga banyak menaqalkan pandangan para fuqaha sebelum beliau dengan membuat penelitian setiap pandangan mereka.
v Ibaratnya jelas dan tidak terdapat lafaz-lafaz yang rumit.
Berdasarkan metodologi penulisan kitabnya, Ibn al-Rif’ah telah membahagikannya kepada beberapa “kitab” dan “bab”. Beliau telah memulakan setiap “kitab” (الكتاب) atau bab (الباب) dengan sebuah pengenalan (muqaddimah), yang mengandungi definisi setiap judul kitab atau bab tersebut dari segi bahasa dan istilah. Kemudiannya disebutkan pula dalil-dalil pensyariatannya dari al-Quran dan al-Sunnah.
Setiap perbahasan dalam huraiannya (syarah), Ibn al-Rif’ah telah menguatkannya dengan dalil-dalil dari al-Quran dan al-Sunnah, di mana beliau banyak menggunakan pendekatan penggabungan antara nas al-Quran dan al-Sunnah. Apabila, beliau beristidlal dengan sesuatu hadis, beliau kerap membuat pentakhrijan terhadis tersebut, dengan menyebutkan kedudukannya berdasarkan pandangan ulama-ulama hadis.
Beliau juga mengikuti jejak penyusun kitab al-Tanbih (al-Imam Abu Ishaq Ibrahim al-Syairazi ) dengan menyebut beberapa pendapat (أقوال) al-Syafi’i atau pendapat (أوجه) para tokoh ulama mazhab Syafi’i mengenai sesuatu permasalahan yang tidak disebutkan oleh al-Syairazi di dalam kitab al-Tanbihnya.
Di antara kitab yang ada kaitan dengan kitab al-Kifayah, ialah;
a) Tashil al-Hidayah wa Tahshih al-Kifayah, karya Ibn Naqib al-Mishri, Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Lukluk (702-769H). Ia adalah sebuah ringkasan bagi kitab Kifayah al-Nabih.
b) al-Hidayah ila Awham al-Kifayah, karya Jamaluddin Abu Muhammad Abdul Rahim bin al-Husain bin ‘Ali al-Qurasyi al-Isnawi al-Mishri (704-772H).
Berdasarkan kitab yang diterbitkan oleh Dar al-kutub al-Ilmiyyah, Bierut pada tahun 2009, kitab ini dicetak dalam 20 jilid. Bersama kitab ini juga, dicetak selepasnya kitab al-Hidayah ila Awham al-Kifayah, karya Imam Jamaluddin Abu Muhammad Abdul Rahim bin al-Husain bin ‘Ali al-Qurasyi al-Isnawi. Kitab ini dalam bentuk fail PDF boleh dimuat turun di Waqfeyaatau terus di pautan;
Semoga bermanfaat.
[1] Terdapat beberapa kitab fiqh lain yang diawali judulnya dengan Kifayah, antaranya;
a) al-Kifayah, karya Abu al-Qasim al-Shaymiri, Abdul Wahid bin al-Hasan al-Shaymiri al-Bashri (386H)
b) al-Kifayah fi Masa-il al-Khilaf Bayna al-‘Ulama, karya Abu al-Hasan Ali bin Sa’id bin Abdul Rahman al-‘Abdari al-Mayuraqi al-Andalusi (493H).
c) al-Kifayah fi al-Fara-id, karya Syihabuddin Ahmad bin Muhammad bin al-Ha-im al-Mishri al-Maqdisi.
d) al-Kifayah fi al-Furuq wa al-Latha-if, karya Abu Abdullah al-Husain bin Muhammad al-Hannathi al-Thabari (495H)
e) al-Kifayah, karya Syaikh Mu’inuddin Abu Hamid Muhammad bin Ibrahim al-Sahluki al-Jajarmi.
f) Kifayah al-Akhyar fi Hall Alfaz Abi Syuja’ , karya Syeikh al-Imam Taqiyuddin Abu Bakr bin Muhammad al-Husaini al-Hishni al-Dimasyqi al-Syafi’i (829H).
g) Kifayah al-Muhtadi bi Syarh Sullam al-Muhtadi, karya Syeikh Muhammad Nur al-Fathani (1290-1363H/1873-1944M)).
[2] Iaitu Ashhab al-Wujuh (أصحاب الوجوه) adalah para ulama yang boleh melakukan ijtihad dalam beberapa permasalahan tertentu berdasarkan kaedah usul fqh yang telah diasaskan oleh Imam Mazhab. Mereka juga dikenali sebagai Mujtahid al-Muqayyad atau Mujtahid fi al-Mazhab. Mereka dikategorikan sebagai ulama mujtahid di peringkat ketiga selepas Mujtahid Mutlaq Mustaqil dan Mujtahid Mutlaq Muntasib.
Artikel Terkait
Posted On : Rabu, 30 Agustus 2017Time : Agustus 30, 2017