Author : UnknownTidak ada komentar
Kitab ‘Uqud al-Lujain fi Bayan Huquq al-Zawjain[1] (عقود اللجين في بيان حقوق الزوجين) merupakan sebuah karya fiqh al-‘Allamah Syaikh Abu ‘Abdul Mu’thiy, Muhammad Nawawi bin 'Umar bin Ali al-Jawi al-Bantani al-Tanariy (1316H/1898M), seorang ulama keturunan Melayu yang terkenal di Makkah pada zamannya. Kitab ini disusun bagi menghuraikan al-Risalah al-Muta’alliqah bi Umur al-Zawjain (الرسالة المتعلقة بأمور الزوجين)[2].
Kandungan kitab ‘Uqud al-Lujain ini membicarakan secara khusus mengenai aspek kekeluargaan dan hubungan antara suami-isteri. Kitab ini memang tidak terlalu tebal, namun keberkahannya sangat luar biasa. Kitab ini telah menjadi sebagai rujukan dan teks pengajian majlis-majlis ilmu di kebanyakan pondok pesantren di Indonesia khususnya.
Kitab ini dicetak dan diterbitkan berulangkali oleh pelbagai syarikat penerbitan. Pada peringkat awal ia telah dicetak oleh Percetakan al-Wahbiyyah pada tahun 1296H/1878M dan di cetak ulang di percetakan Syaraf pada tahun 1297H/1879M, serta di Makkah pada tahun 1316H/1893M.
Berdasarkan kitab asalnya (versi Arab), kandungan kitab ‘Uqud al-Lujain ini di bahagikan kepada 4 fasal perbahasan, iaitu;
a) Fasal pertama membahas tentang hak-hak isteri terhadap suami حُقُوْقِ الزَوْجَةِ) الواجبة عَلَى الزَوْج).
Dalam pembahasan ini terdapat beberapa tinjauan penting antara lain adalah perlakuan baik suami terhadap isteri, nafkah, mas kawin, serta pemberian lain daripada suami. Selain itu, juga kewajipan suami memberikan pelajaran di bidang keagamaan sesuai dengan keperluan isteri, baik mengenai masalah-masalah ibadah wajib maupun sunat kendatipun sifatnya tidak muakkad [sangat dianjurkan dalam agama]. Hal lain yang harus diajarkan suami adalah mengenai kewajipan isteri menta’ati suami dalam melakukan perkara-perkara yang tidak maksiat.
b) Fasal kedua membahas hak-hak suami terhadap isteri (حُقُوْقِ الزَّوْجِ الواجبة عَلَى الزَّوْجَةِ).
Dalam pembahasan ini terkait dengan masalah-masalah seperti keta’atan isteri kepada suami di luar kemaksiatan, perlakuan baik isteri terhadap suami, kemudian penyerahan diri isteri kepada suaminya. Selain itu,adalah mengenai kewajipan isteri untuk selalu berada di rumah suami, di samping menjaga diri dari perbuatan keji. Tinjauan yang lain adalah mengenai masalah menutup aurat dan kejujuran mengenai haid maupun sudah tidak haid.
c) Fasal ketiga tentang keutamaan solat isteri di dalam rumahnya (فَضْلِ صَلاَةِ الْمَرْأَةِ فِيْ بَيْتِهَا وَفِيْ أَنَّهَا).
Pembahasan ini menyinggung masalah solat bagi wanita, seperti melaksanakan solat di dalam rumah dan di masjid bersama Nabi saw. Di samping itu, juga menyinggung mengenai pengaruh syaitan terhadap wanita dan anjuran-anjuran Nabi saw sehubungan dengan pengaruh-pengaruh syaitan tersebut.
d) Fasal keempat membahas tentang keharaman seorang lelaki melihat wanita lain yang bukan mahramnya dan sebaliknya (حُرْمَةِ نَظَرِ الرَجُلِ إِلَى النِّسَاءِ الأَجْنَبِيَّاتِ وَالْعَكْسِ ).
Pembahasan ini diarahkan pada persoalan lelaki dan wanita, terutama berkaitan dengan perbuatan-perbuatan yang diharamkan, seperti lelaki melihat wanita bukan mahramnya atau sebaliknya. Demikian pula halnya lelaki yang sudah beristeri, atau wanita yang sudah bersuami. Dalam fasal ini juga disentuh mengenai permasalahan seperti analogi hukum bagi remaja sehubungan dengan larangan di atas, dan masalah berjabat tangan, berdua di tempat yang sepi, serta masalah-masalah lain yang tidak dibenarkan dalam agama.
Kitab ‘Uqud al-Lujain ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu / Indonesia dan telah terbitkan oleh beberapa syarikat penerbitan, khususnya di Indonesia.
Kitab ini boleh dimuat turun di pautan;
Ia juga boleh dibaca secara on line di pautan;
Muat turun buku terjemahan Uqud al-Lujain
Baca terjemahan secara on line
Semoga bermanfaat.
[1] Banyak cetakan kitab ini disebutkan judulnya sebagai Syarh ‘Uqud al-Lujain fi Bayan Huquq al-Zawjain (شرح عقود اللجين في بيان حقوق الزوجين). Di mana di awal judulnya ada perkataan syarh (شرح).
[2] Syaikh Muhammad Nawawi al-Bantani tidak menyebutkan nama pengarang risalah ini. Beliau hanya menyebutkan ianya disusun oleh sebahagian ulama (بعضُ الناصحين).
Artikel Terkait
Posted On : Minggu, 20 Agustus 2017Time : Agustus 20, 2017